Reunion: Mengenali Negara Kecil Dan Eksotik Yang Tersembunyi di Lautan Hindi

Reunion: Mengenali Negara Kecil Dan Eksotik Yang Tersembunyi di Lautan Hindi

 

Pernahkah korang dengar tentang sebuah negara bernama Reunion? Lokasinya betul-betul terletak di antara Madagascar dan Mauritius. Kalau kita tengok peta pun, lokasinya amat susah untuk nampak sebab saiz negaranya yang kecil. Aku dapat tahu tentang Reunion pun secara kebetulan, selepas aku buat artikel ini (9 Aktiviti Travel Yang Menjadi Kegilaan Adrenaline Junkie) dalam beberapa bulan yang lepas.

 

Jadi, apa yang kita boleh tahu tentang Reunion ini? Secara ringkasnya, Reunion ini sememangnya dah popular di kalangan peminat sukan luncur air. Malah, ada beberapa tournament antarabangsa yang pernah diadakan di sini. Tapi, pantai di Reunion ini menpunyai risikonya yang tersendiri. Setakat ini, pantai di Reunion mempunyai rekod tertinggi dalam serangan jerung yang meragut nyawa. Hingga kini, 90 nyawa telah diragut dan ini menyebabkan pantai di Reunion ditutup untuk orang awam buat masa ini.

 

Bagi yang tak reti nak meluncur air macam aku ni, ada beberapa tarikan lain yang boleh kita lawati di Reunion ini. Disebabkan lokasinya yang terpencil, agak sukar kalau kita dari bahagian Asia untuk ke sana. Jadi, sebelum kita mula nak merancang travel kita ke sini, apa yang kita patut tahu?

 

1. Milik kerajaan Perancis

Reunion adalah salah satu daripada French Overseas Territory. Jadi, matawang yang digunakan di sana adalah matawang Euro dan bahasa rasmi yang digunakan adalah bahasa Perancis. Ada beberapa penduduk tempatan yang boleh berbahasa Inggeris, tapi kurang fasih. Soalan yang sentiasa aku ajukan sebelum bertanyakan mereka apa-apa adalah, “parlez-vous anglais?” (awak boleh berbahasa Inggeris?). Ini akan membuatkan masing-masing lebih selesa dan memahami daya keupayaan sendiri dalam memahami bahasa asing.

 

2. Lubuk untuk aktiviti hiking

Walaupun ramai surfers terbang ke Reunion untuk aktiviti meluncur air, tapi Reunion lebih dikenali untuk aktiviti hiking. Topografi Reunion yang terhasil dari gunung berapi gergasi kuno, membuatkan Reunion mempunyai trek hiking yang meliputi semua tahap, tahap permulaan, pertengahan dan ekstrem. Trek dia juga mempunyai pelbagai features yang boleh memberikan setiap hikers pengalaman yang berbeza. Antara trek yang popular adalah trek gunung berapi di Piton de la Fournaise, trek dari Cirque de Cilaos ke Cirque de Mafate untuk ke pekan Marla dan yang paling ekstrem, trek ke Le Maido.

 

Reunion: Mengenali Negara Kecil Dan Eksotik Yang Tersembunyi di Lautan Hindi

 

3. Macam mana nak ke sana?

Kalau dari bahagian Asia Tenggara tu, agak sukar sikit, terutamanya kalau yang nak travel bajet macam aku ni. Disebabkan Reunion adalah milik Perancis, maka ia lebih mudah untuk terbang ke sini dari Paris melalui Air Austral. Aku terbang ke Reunion dari Mauritius, sebelum ke Madagascar. Penerbangan pun hanya ambil masa 30 minit dari Mauritius. Tiada visa diperlukan untuk pemegang passport Malaysia. Tapi tahun ini, Air Austral baru saja buka laluan penerbangan dari China untuk menarik lebih ramai pelancong China.

 

4. Sewa kereta atau skuter adalah cara terbaik

Untuk menikmati Reunion ini sepenuhnya, kita boleh sama ada sewa kereta atau skuter. Tapi, ia bergantung kepada lokasi yang kita nak tuju. Kalau kita nak menuju ke kawasan pergunungan seperti Cirque de Cilaos, aku tak sarankan untuk bawa skuter. Hari tu aku sewa kereta Volkswagen Polo, pun masih semput nak naik bukit. Cuma, bahagian driver kali ini adalah di bahagian kiri kereta, sama seperti cara memandu dan trafik di Eropah.

 

5. Carsick tablet itu wajib

Bagi yang senang rasa loya masa naik bot atau masa member bawak kereta di jalan bersimpang siur, aku memang sarankan untuk korang ambil carsick tablet ni sebelum memandu. Aku yang jenis jarang loya pun hampir tewas dan akhirnya bocor di tepi jalan. Jalan di Reunion memang ekstrem, terutamanya kalau nak menghala ke kawasan pergunungan seperti Cirque de Cilaos. Jalan yang amat sempit, penuh ‘blindspot’ di sebalik bukit bukau dan juga 400 selekoh tajam yang kita kena tempuhi, memang mudah untuk buatkan sesiapa saja loya.

 

6. Bawak hiking poles

Sebelum nak mulakan hiking, aku memang sarankan untuk korang bawa hiking poles. Bagi sesetengah hikers, hiking poles ni agak menyusahkan dan tak berbaloi untuk dibawa. Tapi untuk trek di Reunion, ia adalah antara gear wajib untuk dibawa. Mungkin ia tak perlu untuk trek beginner, tapi waktu aku buat hiking ke Marla, walaupun level pertengahan, tapi aku bersyukur aku bawak hiking poles. Sebabnya, hiking poles ini membantu untuk mengurangkan tekanan di lutut dan buku lali aku ketika naik tangga selama 5 jam secara berterusan ke puncal Col du Taibit, sebelum turun tangga secara berterusan selama 2 jam ke Marla. Trek di Reunion bukan calang-calangnya, jangan underestimate trek di Reunion, walaupun level beginner dan intermediate.

 

Reunion: Mengenali Negara Kecil Dan Eksotik Yang Tersembunyi di Lautan Hindi

 

7. Senang tak nak cari makanan halal?

Kebanyakan restoran-restoran di sini akan tutup padal pukul 5-5:30 petang, walaupun ia berada di ibu kota Reunion, Saint Denis. Tapi jangan risau, Asian restaurant dan juga restoran Pizza masih dibuka hingga pukul 11 malam. Yang menariknya, pizza restoran ini juga menjual kebab dan selalunya diuruskan oleh orang yang berketurunan Arab. Tapi kalau korang nak menuju ke luar ibu kota, aku memang sarankan untuk beli stok makanan, terutamanya kalau nak buat hiking pada hari yang sama. Kebanyakan restoran di sini menjual makanan Perancis seperti croissants, baguette, sandwich, eclair dan macam-macam lagi. Selepas keracunan makanan roti croissant, aku stick pada makanan kebab saja.

 

8. Jangan ambil gambar penduduk Reunion

Satu benda pelik yang aku sedar di sini ialah bila penduduk sini memang pantang kalau gambar mereka diambil. Ketika aku cuba nak mengambil gambar sebuah restoran beserta seni dekornya, secara kebetulan, aku tak sedar yang ada sekumpulan penduduk tempatan yang sedang melepak di area berdekatan, menganggap yang aku sedang ambil gambar mereka. Terus kena approach dan ditegur lepas tu.

 

 

9. Offline map untuk navigasi

Ketika aku di Reunion, aku pakai aplikasi Maps.me, hanya sebab ia adalah satu-satunya aplikasi yang boleh dipakai bila hiking. Tapi, untuk navigasi arah, ia memang mengecewakan. Mungkin ada yang suka dengan aplikasi offline map ni, tapi waktu aku di Reunion, masa aku banyak terbazir dengan navigasi Maps.me yang “memaksa” untuk masuk jalan No Entry. Akhirnya, aku uninstalled dan kembali muat turun aplikasi offline map kegemaran aku, Sygic.

 

10. Bawa insect repellant

Kalau korang nak ke Cirque de Salazie, jangan lupa bawa insect repellant yang kuat sekali. Sebabnya, antara banyak-banyak area di Reunion, Cirque de Salazie mempunyai kelembapan yang paling tinggi dek air terjunnya yang berada di merata-rata tempat. Yang paling menarik, kalau korang berada di Cirque de Cilaos atau Cirque de Mafate, tiada seekor nyamuk pun yang ada. Masa aku hike di sana, badan aku memang bersih dari gigitan nyamuk. Fun fact, terdapat tiga ‘Cirque’ di Reunion; Mafate, Cilaos dan juga Salazie. Kesemuanya terhasil dari kawah gunung berapi yang telah runtuh pada masa dahulu.

 

11. Bawa stok biskut untuk anjing liar

Untuk tips ni, kalau korang tak nak atau tak selesa pun tak apa. Tapi aku ni jenis cepat kesian pada stray animals. Jadi, bagi pencinta haiwan di luar sana, aku sarankan untuk korang belilah sedikit stok biskut dari mana-mana convenience store berdekatan. Memang korang akan terserempak banyak anjing liar bila berjalan-jalan di Reunion. Jangan risau, diorang ni pun agak takut pada manusia. Jadi diaorang tak akan datang dekat untuk minta belai, cukuplah kalau diberi makan saja. Alhamdulillah, aku ada extra roti baguette untuk berkongsi dengan anjing-anjing yang aku jumpa.

 

Share

2 Comments

  • Moris Maiting berkata:

    wow..best lah. Harap suatu hari nanti saya berpeluang ke sini

    • Alisa Omar berkata:

      Insya allah suatu hari nanti. Air Austral pun dah buka route dari Beijing ke Reunion. Senang sikit nak fly ke sana lepas ni 😉

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*