rahsia hacks dan tips travel

Mahu Jadi Traveler Bijak? Ini 11 Rahsia Travel Yang Setiap Traveler Kena Tahu

Travel ni tak rumit sebenarnya, terutamanya kalau kita tahu selok belok rahsia yang boleh memudahkan perancangan atau perjalanan travel kita. Masa aku travel mula-mula dulu, aku ambil masa berjam jugak nak kemas beg. Sekarang, alhamdulillah, aku hanya ambil masa antara 30-45 minit saja, dengan syarat aku tak procrastinate atau leka tengok anime One Piece.

Setiap traveler, ada rahsia dia yang tersendiri. Jadi di sini, aku kongsikan 10 selok belok travel yang aku gunakan selama ini, berdasarkan pengalaman aku:

1. Incognito mode ketika flight booking

Pernah jadi pada korang tak, tiket flight asalnya berharga RM500. Bila kali kedua korang jenguk balik website yang sama, tiba-tiba harga tiket naik sikit jadi RM520? Benda ni terjadi sebab flight booking website seperti Expedia, Skyscanner, Momondo selalu dapat mengesan berapa kali kita masuk website dia orang. Dan setiap kali kita masuk saja, dia orang akan naikkan harga sedikit demi sedikit. Untuk elakkan dari benda ni berlaku, bila kali kedua korang nak jenguk ke flight booking website untuk destinasi atau tarikh travel yang sama, aktifkan incognito mode. Jangan pakai laman search Google yang biasa.

2. Ambil tempat duduk paling tepi (aisle)

Selalunya, orang akan ambil tempat duduk di bahagian tingkap. Why not? Kita boleh menikmati pemandangan langit biru dengan lebih jelas lagi. Tempat duduk di bahagian tingkap memang best, dengan syarat kalau kita dalam penerbangan jarak dekat (kurang dari 3 jam). Kalau untuk penerbangan jarak jauh (8 jam dan ke atas), kita pula travel secara solo, memang akan rasa macam duduk dalam penjara. Terutamanya bila tengah malam, tiba-tiba korang rasa nak ke tandas, tapi kedua-dua penumpang sebelah korang tengak tidur nyenyak.

Bagi sesetengah orang, mungkin tak menjadi masalah untuk dia kejut kedua-dua penumpang tu, tapi bagi aku, aku tak selesa. Aku lebih suka kalau aku mempunyai kebebasan sendiri untuk ke lavatory bila-bila masa aku suka. Antara part paling tak best kalau duduk di bahagian tingkap untuk penerbangan jarak jauh, bila penumpang di seat tengah tak nak beri kerjasama untuk beri ruang pada korang nak keluar dari tempat duduk.

3. Bawak botol kosong

Umum tahu yang untuk hand-carry item, kita tak boleh bawak bahan cecair lebih dari 100ml. Ini termasuklah minyak wangi kita yang tinggal suku atau sekerat. Jika saiz botol minyak wangi tu adalah 175ml, walaupun kuantitinya kurang dari setengah, masih tak boleh juga dibawa masuk. Begitu juga dengan botol air. Tapi, kalau kita bawak botol kosong, walaupun saiz botol tu 175ml, kita masih dibenarkan untuk bawak masuk dalam flight. Selalunya selepas saja selesai proses pemeriksaan kastam, aku akan re-fill botol tu dengan air. Kalau naik Airasia, boleh jimat RM4 aku. Hahaha.

Cara ni bukan saja boleh jimatkan RM4 segelas, tapi kalau korang travel ke Eropah, Australia, New Zealand atau Amerika, kita boleh re-fill botol terus dari paip. Lagi menjimatkan bajet korang dari beli air botol dekat kedai.Kalau supermarket besar, bolehlah dapat harga dalam 0.75-0.90 dollar sebotol. Tapi kalau di pekan kecil, harga boleh cecah 2 dollar sebotol.

4. Ambil peluang untuk tempoh transit yang lama

travel hacks tips dan rahsia

Disebabkan transit aku lama di Riga, Latvia, sempat untuk melawat bekas penjara KGB. Boleh baca kisah sepenuhnya di http://bit.ly/2oEtYhS

Sesetengah flight akan jadi lebih murah dari yang lain, dengan syarat, tkita kena tempuh masa transit yang agak panjang (8 jam dan ke atas). Jangan gundah gulana, ambil peluang ini untuk terokai destinasi transit. Tapi pastikan yang destinasi transit tu tak perlukan apa-apa visa. Aku dengan sengaja pilih penerbangan dari Tbilisi, Georgia ke Athens, Greece dengan dua lokasi transit yang lama. Satu di Latvia, dan satu lagi di Estonia. Dengan pengalaman sekejap aku di Latvia dan Estonia, secara jujurnya, aku boleh consider untuk travel ke Latvia sekali lagi, untuk tempoh yang lebih panjang. Estonia, not so much.

5. Beg ziploc adalah teman baik travel korang

sumber: cnet.com

Walaupun beg plastik ziploc selalu digunakan untuk simpan makanan, tapi ia juga sebenarnya penting untuk pakai masa travel. Contoh pertama, untuk pemeriksaan kastam di Eropah, kita dikehendaki untuk bawak keluar beg ziploc yang mengandung barang-barang cecair. Ada airport(tak semua) yang akan beri beg ziploc ni secara percuma, sebelum kita nak masukkan barang untuk pemeriksaan, seperti airport di Eindhoven, Netherlands.

Contoh kedua, kita boleh simpan barang toiletries yang basah seperti shampoo, conditioner, pencuci muka, berus gigi tanpa perlu risau jika botol shampoo tiba-tiba bocor. Contoh ketiga, kita boleh letak baju kotor kita dalam beg ziploc, tanpa perlu risau jika bau dari baju kotor kita akan lekat pada baju-baju lain yang ada di dalam beg.

6. Sabun mandi

sunber: nbcnews

Aku memang cheapskate bila travel. Jadi, kalau diberi pilihan antara body wash dengan sabun, aku lebih suka pakai sabun lagi. Sebabnya, selain dari harga dia yang lebih murah, ia juga bagus untuk penggunaan jangka panjang. Aku tak perlu beli liquid body wash untuk setiap kali travel, sebab sabun boleh dipakai berulang kali sampailah ia habis. Itu kalau aku beli seketul saja, kalau aku beli yang pek 3 dalam 1, maka lagi lama ia bertahan. Untuk liquid body wash, harga untuk saiz travel pun dalam RM3-5. Kalau saiz biasa, RM6-10.

7. Pilih Dietary Meal untuk dapat makanan cepat

Walaupun korang bukan dalam diet makanan yang ketat seperti Gluten Free, Sodium Free ataupun vegetarian, korang masih boleh pilih makanan di bawah section “Dietary Meal Requirement” ketika dalam proses tempahan tiket flight. Sebabnya, kalau korang pilih makanan mengikut diet, pramugari/pramugara akan menghantar makanan korang dulu sebelum mula memberi makanan pada semua penumpang. Mungkin bagi sesetengah orang, tips ni tak berapa penting. Tapi bagi yang dapat tempat duduk paling belakang, tips ni akan menjimatkan banyak masa dari menunggu giliran untuk dapat makanan. Premium Airlines seperti Emirates, Etihad Airways, Cathay Pacific, yang selalunya ada servis untuk Dietary Meal Requirement ni.

8. Kaunter info dan pertanyaan untuk pelancong

sumber: prague.eu

Kaunter info dan pertanyaan pelancong adalah tempat terbaik untuk korang dapatkan segala info tentang aktiviti yang bersesuaian dengan tempoh travel korang. Terutamanya yang travel sebab nak habiskan masa transit. Selain dari itu, kita juga boleh tahu jika ada aktiviti yang boleh dilakukan secara percuma, atau aktiviti yang mempunyai tawaran harga diskaun. Part yang paling best, kalau korang ke kaunter info dan pertanyaan pelancong di New Zealand, cari majalah tourist guide. Dalam majalah tu, selain dari informasi tentang lokasi menarik, ia juga mempunyai bahagian kupon yang boleh digunakan untuk dapat harga yang lebih murah atau air minuman percuma. Aku pakai kupon-kupon yang ada dalam majalah tu masa aku dekat New Zealand, macam dunia ini ana yang punya!

9. Power strip adalah teman baik kedua korang

sumber: homedepot

Selain dari beg ziploc, power strip adalah barang kedua terpenting bila aku travel. Dulu aku ingatkan, bawak international adapter dah cukup. Sehinggalah aku sedar yang bilik motel di Krabi ada satu saja power socket. Aku terpaksa cas bateri kamera, telefon dan powerbank secara bergilir-gilir. Kalau aku travel solo, tak kisah. Lagi senang nak cas mengikut giliran. Tapi kalau travel dengan kawan? Dia pun nak cas bateri device dia jugak. Dari situ aku sedar yang power strip ni memang penting, terutamanya kalau duduk backpackers hostel yang mempunyai 4-8 orang backpackers satu bilik. Lagi nightmare nak cari power socket yang kosong untuk dicas.

10. Belanja semua syiling yang ada

sumber: thespruce

Antara waktu yang paling tak seronok sekali, bila aku beli sesuatu dan bayar dengan duit kertas, tapi baki diberi dengan pecahan syiling. Boleh jadi stress tau. Sebabnya, bila kita dapat syiling, nak atau tak, kita kena belanja semua syiling yang kita ada. Money changer tak akan terima kalau kita nak tukar duit dengan syiling, walaupun kita ada jumlah syiling sampai 10 dollar sekalipun. Jadi, sebelum nak fly balik ke Malaysia, pastikan tiada satu sen syiling pon yang ada dengan kita (kecuali jika nak simpan sebagai koleksi). Aku habiskan syiling aku sama ada beli air ataupun beli barang cenderamata untuk kawan-kawan. Kalau nak buat kerja amal, sedekahkan syiling tu pada golongan yang lebih memerlukan.

11. Biar airline pilih seat kita

Airline bajet selalunya akan cas kita untuk harga tempat duduk. Untuk cheapskate traveler macam aku ni, memang aku paham ini adalah antara business move. Tapi pada masa yang sama, untuk return flight dengan Airasia, kos untuk bayar harga tempat duduk pun dah nak dekat RM100. Jadi, aku cuba untuk tak pilih preferred seat ketika buat tempahan and biarkan Airasia saja yang tentukan. Hasilnya, kalau korang jenis fleksible tak kisah duduk mana-mana, korang tidak akan dicas untuk harga tempat duduk. Risiko dia, kalau diberi tempat duduk yang tak best, seperti tempat duduk di tengah-tengah. Selain dari semua itu, korang boleh jimat RM78 untuk tempat duduk, dua hala. Bagi sesetengah orang RM78 tu tak banyak mana pun, tapi bagi aku, jumlah tu boleh buat makan seminggu!

Masih ada soalan yang terbuku di dalam hati? Boleh contact aku di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*